Wednesday 17 July 2013

16 JULY 2013, UTUSAN MALAYSIA .. SYABAS SSPDRM KONTINJEN SELANGOR KERANA MENYERTAI PROGRAM KOMUNITI KEPOLISAN

LANS Koperal Mohd. Yusri Mohd. Yusof (tiga dari kiri) bersama rakan sepasukan sewaktu menyertai program komuniti kepolisan.

MESKIPUN hanya menjadi anggota dalam unit simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun bagi Lans Koperal Mohd. Yusri Mohd. Yusof, 47, beliau amat berpuas hati kerana dapat menyumbang khidmat bakti selama hampir 10 tahun sebagai anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Walaupun berstatus anggota sukarelawan, tetapi peranan yang dimainkan pasukan itu sebenarnya sama seperti anggota polis biasa, iaitu bertanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam di seluruh pelosok daerah.

Beliau tidak menafikan anggota sukarelawan polis ibarat 'dua alam' iaitu sebelah siang menjadi orang awam dan malam bertugas sebagai anggota polis.
Bagaimanapun beliau percaya semua anggota lain sama sepertinya komited melaksanakan misi penubuhan pasukan berkenaan.

Tiada istilah penat baginya meskipun terpaksa meninggalkan seketika dunia awam dengan menggunakan pakaian seragam polis dan menjalankan tugas di malam hari. Sedangkan malam adalah waktu untuk berehat atau bersama keluarga.

Menceritakan semula detik awal sebelum menjadi anggota pasukan itu, Mohd. Yusri berkata, beliau amat meminati dunia kepolisan berikutan ayahnya, Mohd. Yusof Semin, 81, adalah pesara polis berpangkat sarjan selain dia sememangnya dibesarkan dalam suasana kepolisan sejak berusia empat tahun.
"Ayah adalah pendorong terkuat untuk saya menyertai polis sejak awal lagi. Namun ketika itu, saya memfokuskan kepada bidang perniagaan.

"Penglibatan saya dalam pasukan sukarelawan polis ini cukup menggembirakan hatinya apatah lagi pasukan saya adalah kumpulan pertama tamat latihan di IPD Ampang Jaya pada 2004 sekali gus merealisasikan cita-cita saya untuk menjadi polis," katanya sambil mengimbau kenangan manis perbarisan tamat latihan pada 2004 selepas enam bulan menjalani latihan bersama 41 anggota lain.
Beliau berpendapat, usaha memperkasakan SSPDRM amat penting dan perlu dimartabatkan sebagai penggerak jalinan masyarakat bersama polis bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat hari ini berikutan pasukan ini kurang ditonjolkan.

Mohd. Yusri percaya, terdapat segelintir masyarakat tidak mengetahui sejarah penubuhan pasukan ini pada 1957 yang sebenarnya memberi peluang kepada mana-mana individu untuk menceburkan diri dalam kerjaya polis tanpa meninggalkan pekerjaan hakiki mereka.

"Saya percaya penglibatan masyarakat yang menyertai pasukan sukarelawan ini adalah suatu aura positif yang mampu membentuk satu masyarakat berdisiplin dan memahami serta menghormati undang-undang di negara ini.
"Apabila mereka menyertai pasukan ini, itu bukan sahaja memupuk disiplin diri yang tinggi malah mampu mewujudkan kefahaman dan pengamatan terhadap masalah dan pahit manis bagaimana anggota polis melaksanakan khidmat mereka seharian," ujar anak kelahiran Tampoi, Johor itu.
Mula berkhidmat dengan pangkat konstabel pada 2004 dan kini menjadi penyelia bagi pasukan sukarelawan di daerah itu, Mohd. Yusri mengakui sepanjang penglibatan beliau ke dalam pasukan itu memberi banyak pengalaman, pengamatan, cabaran di samping sumbangan khidmat bakti kepada keamanan setempat.

"Jika diberi kesempatan untuk terus menyambung perkhidmatan, saya berbesar hati untuk terus menjadi sebahagian warga PDRM.
"Kebetulan temuduga bagi pegawai pangkat rendah telah diadakan pada 25 Jun lalu melebihi had usia perkhidmatan bagi seorang anggota konstabel iaitu pada usia 47 tahun sahaja.
"Sekiranya ada rezeki dan diberi peluang memandangkan tarikh persaraan saya pada 15 Jun iaitu sebelum tarikh temuduga, saya ingin terus bersama PDRM menabur khidmat bakti," ujarnya bersungguh untuk menyambung tempoh perkhidmatan sebagai anggota SSPDRM.

Sedar tidak sedar perkhidmatannya di IPD Ampang Jaya telah melalui lima kali pertukaran ketua polis daerah iaitu bermula dengan ketika itu Asisten Komisioner (ACP) Azmi Hashim; ACP Azri Ahmad; ACP Amer Awal; ACP Abdul Jalil Hassan dan terbaharu, ACP Amiruddin Jamaluddin.
"Terima kasih kepada semua mereka yang menyokong, memberi dorongan, semangat dan amat memandang tinggi penglibatan pasukan ini di IPD Ampang Jaya," katanya.
Lebih membanggakan, Mohd. Yusri pernah menerima beberapa anugerah cemerlang perkhidmatan dan paling manis apabila diangkat sebagai Juara Disiplin dalam SSPDRM serta Cemerlang di Peringkat Kontinjen Selangor pada 2011 termasuk sijil penghargaan diterimanya daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan yang dahulunya Ketua Polis Daerah Ampang Jaya kerana menolak rasuah.

Katanya, anugerah atau penghargaan yang diterimanya bukan untuk terus dibanggakan sebaliknya pendorong kepadanya agar amanah serta integriti yang dibawa telah dipikul penuh berdedikasi serta mengangkat imej PDRM.
Mengulas kes cubaan rasuah membabitkan beliau, Mohd. Yusri berkata, ketika kejadian dia bersama seorang pegawai polis sedang menjalankan rondaan di sekitar Ampang.

"Ada seorang lelaki membawa motosikal dalam keadaan mencurigakan jadi selepas menahannya dan memeriksa lanjut didapati dia tidak memiliki lesen memandu dan motosikalnya tiada cukai jalan.
"Kami ingin membawanya ke balai namun dia cuba memberi rasuah. Beberapa kali kami memberikan amaran agar tidak merasuah anggota polis, namun dia berdegil dan kami terpaksa membawanya ke balai atas tuduhan cuba merasuah," kata bapa kepada lima cahaya mata ini yang puas apabila berjaya membantu polis dalam beberapa kes tahun ini seperti kes dadah dan ragut.